KES ROGOL KANAK2-RENUNG2 KAN LAH.

Kes Rogol Kanak-Kanak 

Anak adalah anugerah tuhan yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa. Senyuman, tawa dan tangisan mereka mewarnai lagi bumi tuhan ini. Kelahiran cahaya mata sebersih kain putih ini menandakan bermulanya tanggungjawab ibu bapa untuk membina watak, mengasah minda, mencetus akal, dan membina paksi perlindungan untuk kanak-kanak.

Mereka rapuh ibarat rebung, tergantung kita bagaimana melenturkannya. Mereka juga tidak mampu melindungi diri sendiri, cuma mengharap perlindungan dari orang dewasa untuk berdikari. Menurut definisi Akta Kanak-Kanak 2001(Akta 611), kanak-kanak ialah golongan yang berusia di bawah 18 tahun. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang turut mendefinisikan ‘kanak-kanak’ sebagai mereka yang berumur di bawah 18 tahun. Disamping memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar, kanak-kanak juga merupakan golongan yang mudah terpengaruh dan rentan dengan persekitaran. 39.2% atau 11.1 juta daripada 28.3 juta penduduk Malaysia pada masa ini, terdiri daripada kanak-kanak yang menjadi aset penting negara. Maka, penggubalan pelan tindakan atau dasar yang bertujuan memberi perlindungan dan seterusnya membentuk kanak-kanak menjadi warganegara yang mantap dari segenap aspek kehidupan apabila dewasa kelak adalah bertepatan pada masa kini. Penderaan terhadap kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi atau seksual bukanlah satu perkara yang baru di negara ini Jenayah seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Statistik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes penderaan fizikal, cabul kehormatan dan rogol ke atas kanak-kanak meningkat setiap tahun iaitu daripada 2,236 kes pada tahun 2005 kepada 5,744 pada tahun 2008. Dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 2,193 kes telah dilaporkan kepada PDRM. Sementara kes kehilangan kanak-kanak juga membimbangkan di mana jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2008 ialah 982 kes dan daripada jumlah itu, 500 kes masih hilang. Cuba kita imbas kembali sedikit rentetan peristiwa rogol dan bunuh kanak-kanak yang begitu menyayat hati.

Pada 23 Oktober 2000, Nor Shuhada Borak, berusia 6 tahun, ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang, dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Kemudian, pada 13 Ogos 2001, Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dirogol sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya, di Taman Bukit Maluri, Kepong. Setahun kemudian, kita digemparkan pula dengan kejadian kes kehilangan Siti Nurliyana Shamimi Rosdi pada 6 November 2002. Mangsa diculik dirogol dan kemudiannya dibunuh. Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan bogel di tebing sungai Kedah kira-kira 500 meter dari rumahnya di kampong Seberang Terus. Bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa selain lebih dari 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa dipercayai dipukul dengan benda keras. Pada 8 Januari 2004 pula, kanak-kanak berusia 10 tahun Hasirawati Saridi, ditemui mati dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau Menggatal, Kota Kinabalu Sabah.

Tidak lama kemudian, pada 17 Januari 2004 tercatat sebagai sejarah ‘hitam’ negara apabila seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Huda Abdul Ghani Musa, 10 tahun, mati dicekik setelah dirogol dan diliwat oleh tiga lelaki di Gelang Patah. Anak bongsu daripada sembilan beradik itu dirogol di dalam pondok pengawal keselamatan yang terletak 100 meter dari rumahnya oleh pengawal keselamatan stesen janakuasa bersama dua lagi lelaki. Mayat kanak-kanak malang itu ditemui tanpa seurat benang di tubuhnya dan tersandar pada dinding tandas pondok pengawal Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam keadaan mencangkung. Mulutnya disumbat dengan sehelai kain dan tangan kanak-kanak itu memegang lehernya sendiri. 22 Disember 2004, Siti Syazwani, 9 ditemui mati 100 meter dari rumahnya- dirogol dan dibunuh oleh seorang pekerja asing Indonesia. Mayatnya ditemui mati tersembam ke dalam parit sedalam 2 meter di ladang kelapa sawit Tikam Batu, Sungai Petani dengan hanya berbaju kurung. Dalam kes lainnya, Tengku Puteri Nur Aqilah Tengku Kamarudin pula, dilaporkan hilang pada April 2005 dan kembali ke rumah dua tahun selepas itu. Mangsa dikatakan sugul dan tidak banyak bercakap. Noor Zuliati Mohd Zulkipli pula, keluar dari rumah pada Oktober 2006 selepas merajuk dan dijumpai sebelas hari kemudiannya. Nurshafiqah Borhan, berusia 14 tahun dijumpai mati dua hari selepas dirogol dan dibunuh. Mayatnya dilihat berada di dalam longkang dengan pakaian sekolah yang lengkap pada 28 Januari 2006. Manakala Ching Poon, 8 tahun, diculik pada 25 April 2006 dan rangka mayatnya ditemui sebelas hari kemudiannya di Johor Bharu.

Pada 3 Mac 2007, telah dilaporkan kes adik Nazrin Shamsul Ghazali (Yin) yang hilang ketika ibu bapanya sedang membeli belah di Pasaraya Sogo ,Kuala Lumpur. Namun, Yin berjaya ditemui dalam keadaan selamat selepas 21 hari hilang oleh pasangan warga Myanmar, ketika sedang berjalan seorang diri, lalu menyimpan Yin selama beberapa hari sebelum di serahkan kepada pihak polis. Selepas itu, negara dikejutkan pula dengan kes Kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak. Pada 20 Ogos 2007 Nurin dikatakan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju. Nurin yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati, selepas pihak polis menemui beg pakaian sukan, berisi mayat kanak-kanak dalam keadaan kakinya terlipat di dada di bawah tangga sebuah bangunan.

Pihak polis juga melakukan ujian DNA ke atas mayat tersebut dan ujian DNA mengesahkan 99.99 peratus sah sebagai mayat Nurin Jazlin. Sehingga kini penjenayah kejam yang telah membunuh mangsa belum lagi dikenalpasti. Diikuti pula dengan satu lagi kes kehilangan kanak-kanak Sharlinie Mohd Nashar, berusia 5 tahun, pada 1 September 2008, yang dilaporkan hilang di Taman Medan. Sharlinie dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di taman permainan yang jaraknya tidak jauh dari rumah mereka, pada jam 11.30 pagi. Sehingga kini pihak polis dan masyarakat sedang berusaha untuk mencari adik Sharlinie Mohd Nashar yang turut dikaitkan dengan pembunuhan kejam Nurin Jazlin.

Pada 12 Oktober 2009 baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, Aaliya Aiman, ditemui mati akibat dirogol, diliwat dan digoncang dengan kuat oleh warga Afrika yang dipercayai teman lelaki ibu mangsa. Apa yang menyedihkan lagi, ibu mangsa turut terlibat dalam melakukan penderaan ke atas mangsa. Terbaru pula, pada 22 Disember 2009, mayat seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun ditemui mati terapung dalam keadaan separuh bogel dan lehernya dijerut dengan sehelai kain di kolam tadahan banjir, Kampung Boyan, Lorong Gurney, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Hasil bedah siasat, mangsa dipercayai dirogol dan diliwat beberapa kali akibat kesan koyak pada alat sulit mangsa yang disumbat objek tumpul. Dalam kes ini, teman lelaki ibu mangsa ditahan dan disoal siasat sebagai suspek utama berikutan aduan yang dibuat oleh ibu mangsa sehari selepas kejadian. Berikutan rentetan peristiwa kes kehilangan, rogol dan bunuh kanak-kanak yang berlaku setiap tahun, ia lebih kerap melibatkan kanak-kanak perempuan. Mereka yang melakukan jenayah ini mengambil kesempatan di atas kelemahan mental dan fizikal kanak-kanak ini untuk memuaskan nafsu mereka secara seksual. Golongan seperti inilah yang diibaratkan sebagai harapkan pagar, pagar makan padi. Semakin maju manusia, semakin kejam mereka.

Apakah dosa kanak-kanak ini sehingga diperlaku sedemikian? Adakah kerana nafsu yang melulu menjadikan mereka buta mata, hati dan perasaan. Masyarakat meluahkan rasa marah dan kesal mereka terhadap kejadian-kejadian sebegini dan menghendaki hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah rogol ini. Respon yang diberikan adalah mudah untuk difahami memandangkan kes-kes rogol terhadap kanak-kanak ini semakin kejam sehingga penjenayah berkenaan bukan sahaja merogol mangsa malahan sanggup meliwat dan membunuh anak-anak kecil ini dalam keadaan yang tragis. Pelbagai reaksi telah diberikan oleh masyarakat termasuklah oleh ahli-ahli politik terhadap permasalahan ini. Rentetan daripada itu, beberapa cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak mengenai hukuman yang patut dijatuhkan ke atas penjenayah berkenaan. Antaranya ialah hukuman kasi, hukuman mati dan dirotan di khalayak ramai. Persoalannya di sini ialah adakah masyarakat hanya memberikan respons secara beremosi dalam menangani masalah yang tiada titik noktahnya ini tanpa melihat kepada faktor di sekeliling mereka? Jika dikira-kira kes kematian kanak-kanak sehingga ke hari ini, tidak bisa kita karang dalam satu hari.

Namun, sehingga ke hari ini, hanya kes kematian Nurin Jazlin Jazimin dan kehilangan Sharlinie sahaja yang masih segar dalam minda masyarakat. Hal ini mungkin disebabkan oleh kematian Nurin yang begitu menyayat hati serta kehilangan Sharlinie yang masih tidak ditemui. Tambahan pula, orang yang disyaki masih lagi terlepas bebas. Oleh sebab itulah, spekulasi kehilangan dan kematian kanak-kanak hari ini, sememangnya dibayangi dengan kehilangan Nurin Jazlin dan Sharlene. Walaupun begitu, sebarang spekulasi mengenai kes kematian dan penganiayaan kanak-kanak seharusnya dihentikan dan usaha yang berkesan perlu diambil untuk mencegah kejadian ini daripada berulang. Hal ini kerana, spekulasi yang sama dan spekulasi yang pelbagai hanya akan mengelirukan lagi pihak berkuasa untuk mendapatkan gambaran sebenar. Cuba kita ambil contoh daripada kenyataan TV3 yang mengaitkan pembunuhan Nurin dengan Along. Hal ini menunjukkan bahawa, peranan media itu sendiri sahaja boleh membangkitkan lagi spekulasi dalam masyarakat.

Namun, tidak dapat kita menolak kemungkinan untuk berlakunya kes yang sama berikutan penjenayah yang masih terlepas bebas. Pelbagai faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada jenayah kejam ini. Antaranya ialah, keadaan sekeliling yang terlalu sunyi, kelalaian ibu bapa dan keluarga, kebanjiran filem-filem lucah di pasaran dan kegagalan mengawal nafsu. Persoalannya di sini, adakah persepsi atau pendapat sebegini masih lagi relevan? Hal ini kerana, kita perlu ingat bahawa, pelaku jenayah rogol dan penderaan seksual bukan sahaja dilakukan oleh orang yang tidak dikenali tetapi turut dilakukan oleh mereka yang dikenali oleh mangsa (Zulazhar Tahir, Sridevi Thambapillay & Jal Zabdi Mohd Yusoff, 2008). Namun, harus kita ingat bahawa kes yang melibatkan penculikan, rogol, liwat dan pembunuhan kejam dalam satu masa, masyarakat masih percaya bahawa ia sememangnya dilakukan oleh orang yang tidak dikenali.

Oleh itu, adalah relevan jika masyarakat berpendapat bahawa, kunci kepada fenomena di atas sebenarnya adalah disebabkan oleh “kelalaian keluarga”. Peranan keluarga sebenarnya terletak pada sejauh mana suami dan isteri memperuntukkan masa di sebalik kesibukan kerja masing-masing. Mahu atau tidak, keluarga di bandar lebih sukar mencari masa yang berkuantiti dan mengawal anak dengan cara yang berkualiti kerana gaya hidup yang berbeza daripada pinggir bandar. Namun, tidak dapat dinafikan juga, kes-kes sedemikian turut berlaku di luar bandar. Mungkin, inilah cabaran utama setiap keluarga era ini dalam memastikan persekitaran anak-anak yang sihat dan selamat. Bak kata pepatah, “nak seribu daya, tak nak seribu dalih, cuba seribu cara”

Dengan menilai semula jadual kerja, sesebuah keluarga akan pasti menjumpai peluang-peluang untuk membina kembali keselamatan, kemesraan dan kegembiraan dalam sesebuah institusi kekeluargaan (Zainun Ishak, 2006) Oleh itu tiada lagilah istilah “terlepas pandang” dalam kalimah sosial ibu bapa sekaligus menghapus pepatah “sudah terhantuk, baru nak tengadah. Bukanlah kita ingin menyalahkan ibu bapa sepenuhnya, namun, perkara yang melibatkan penjagaan kanak-kanak seperti ini menuntut kita untuk menuding jari ke arah ibu bapa terlebih dahulu sebelum menuding ke arah pihak lain, Istilah “latchkey kids” itu sahaja sudah cukup untuk mencerminkan sikap sambil lewa dan lepas tangan segelintir ibu bapa dalam memberi perhatian kepada anak-anak. Bukankah itu menguatkan lagi dakwaan kita terhadap ibu bapa? Sebelum ini ramai ibu bapa yang agak pesimis dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang antaranya menyatakan bahawa mana-mana ibu bapa yang cuai sehingga menyebabkan anak-anak mereka hilang, diculik, teraniaya, terabai, atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi boleh didakwa di mahkamah.

Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Namun, ada yang merungut dan menyatakan bahawa tidak akan wujud keadilan kepada ibu bapa kerana penjenayah yang terlepas bebas tidak pula dihukum sebaliknya ibu bapa. Bagi sesetengah pihak situasi ini dilihat sebagai salah satu propaganda pihak tertentu untuk meletakkan bebanan kesalahan itu kepada sebelah pihak sahaja dan pihak yang menuding pula bersikap lepas tangan. Kita lupa bahawa yang membiarkan manusia itu kejam sehingga sanggup melakukan jenayah pembunuhan adalah kerana sikap masyarakat kita hari ini terlalu individualistik dan tidak prihatin dengan perihal orang lain.

Maka, pihak sekolah, jiran tetangga dan masyarakat juga secara tidak langsung mempunyai keterlibatan dalam kes ini kerana merekalah sumber ketiga selain ibu bapa yang menjadi mata dan telinga kepada anak-anak tersebut. Menyedari hakikat bahawa masa depan kanak-kanak semakin terancam, sama ada oleh perbuatan individu atau perbuatan mereka sendiri serta kegagalan pihak kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, maka satu inisiatif positif telah digerakkan oleh masyarakat antarabangsa untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak di landasan yang sepatutnya. Inisiatif ini boleh dilihat melalui Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasikan oleh hampir semua negara di dunia ini. Malaysia merupakan antara negara yang telah menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

Antara perkara penting di dalam Konvensyen ini ialah pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak ke atas beberapa perkara asas iaitu hak untuk hidup, hak kepada pembangunan, hak untuk dilindungi daripada pengaruh yang merosakkan, penderaan dan eksploitasi dan akhir sekali hak untuk bersama dengan keluarga, kebudayaan dan kehidupan sosial. Bertepatan dengan fenomena kerakusan kanak-kanak ini, kelulusan dua dasar berkaitan kanak-kanak oleh Jemaah Menteri juga dipersetujui. Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara juga telah digubal berdasar input dan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak NGO, pakar perubatan, pekerja sosial dan sukarelawan serta individu tertentu yang pakar dalam bidang kanak-kanak.. Kedua-dua pelan tindakan ini, merupakan dokumen yang menterjemahkan instrumen sedia ada iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dalam bentuk yang mudah dilaksanakan pada peringkat akar umbi.

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) kanak-kanak agar mereka dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif. Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara pula adalah satu dasar bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi (Kementerian pembangunan wanita dan keluarga). Ia menjadi panduan kepada segenap pihak seperti agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, sukarelawan dan anggota masyarakat untuk menggembleng usaha bagi membangunkan golongan kanak-kanak yang sebagai modal insan penting sesebuah negara. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menyifatkan prosedur siasatan selepas 24 jam laporan polis dibuat bagi kes kehilangan kanak-kanak sebagai terlalu lambat bertindak.

Oleh itu, kementerian merangka satu mekanisma khusus mirip Amber Alert atau Nurin Alert bagi menangani segera kes kehilangan kanak-kanak untuk dimuatkan dalam Polisi Perlindungan Kanak-kanak (CPP) yang akan dibentang di Kabinet tidak lama lagi. Amber Alert ialah mekanisma rangkaian integrasi maklumat ditubuhkan hasil kerjasama agensi kerajaan, orang ramai, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai satu sistem amaran ketika menghadapi kes kehilangan kanak-kanak di Amerika Syarikat. Manakala Nurin Alert atau singkatan daripada Nationwide Urgent Response Information Network (Rangkaian Maklumat Tindak Balas Segera Kebangsaan) kini diusahakan kumpulan aktivis yang bersimpati dengan mangsa penculikan dan pembunuhan kejam, adik Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Pihak kementerian juga turut melaksanakan beberapa program lain antaranya adalah dengan menubuhkan pasukan pelindung peringkat daerah iaitu sebanyak 131 kumpulan, yang melibatkan golongan profesional dan pemimpin masyarakat untuk menyampaikan kempen kesedaran di kalangan pelajar di sekolah-sekolah. Walaupun telah banyak usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini, namun hakikatnya, ia masih memerlukan komitmen dari semua pihak. Oleh itu, usaha yang lebih bersepadu diperlukan dan tidak hanya bergantung pada sistem keadilan jenayah untuk menangani isu ini. Masyarakat secara keseluruhan harus digerakkan untuk sama-sama membantu. Jiran tetangga harus mengambil tahu akan keadaan jiran mereka dan haruslah tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika wujudnya kes-kes sebegini di kawasan kediaman mereka. Tindakan awal ini akan dapat menyelamatkan kanak-kanak ini dari terus menjadi mangsa kerakusan manusia berhati binatang. Ibu bapa haruslah memainkan peranan yang major dalam melindungi kanak-kanak.

Peranan ibu bapa dalam menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka adalah sangat penting. Ini kerana keluarga ialah suatu unit asas dalam masyarakat. Sebagai suatu unit asas dalam sesuatu masyarakat, keluarga boleh memberi sumbangan dalam menjamin kesejahteraan dan kestabilan masyarakat itu. Oleh itu, kita perlu mengukuhkan kembali institusi kekeluargaan dan kejiranan supaya jenayah-jenayah seperti ini dapat dibendung. Malah tidak kurang pentingnya juga membina semula masyarakat yang prihatin dalam erti kata sebenar kita tidak usah gusar sekiranya dilabel sebagai seorang yang ’suka menjaga tepi kain orang’ sebaliknya persepsi seperti inilah yang harus diubah supaya kawasan kediaman kita menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Oleh yang demikian, persekitaran yang sihat seharusnya diwujudkan dalam diri setiap insan dengan berpaksikan kepada nilai kemanusiaan yang jitu tanpa memandang persepsi negatif masyarakat yang berfikiran jumud. Jika kita gagal menyemainya dalam diri kita maka jenayah dan pembunuhan kejam ini mungkin akan terus berlaku. Oleh itu, kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa, ibu bapa, guru, dan orang awam adalah penting dalam membendung jenayah ini.

PETIKAN DARI SINAR.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: