BERKAITAN ISU RUMAH BERTINGKAT

Tukar meter

SHAH ALAM: Penghuni pangsapuri atau strata di Selangor kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri bersetuju memberikan 20 meter padu air percuma kepada perumahan bertingkat yang menggunakan meter air pukal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad, berkata bagaimanapun kerajaan negeri meminta penduduk pangsapuri atau strata yang lain melakukan migrasi ke meter individu sebelum mereka boleh menikmati skim air percuma itu.

Menurutnya, bagi memastikan warga Selangor terutama yang berpendapatan rendah menikmati skim air percuma sebelum migrasi dapat dilakukan, kerajaan negeri akan mengeluarkan kupon yang bersamaan dengan nilai 20 meter air padu.

“Kupon ini akan diedarkan menerusi pesuruhjaya bangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada penduduk menerusi pemaju, ejen pengurusan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

“Skim ini akan dilaksanakan di beberapa kawasan perintis terlebih dulu mulai Jun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di sini, semalam.

Sehingga kini, terdapat 620 pembangunan pangsapuri kos rendah yang belum melakukan migrasi merangkumi 168,479 unit kediaman.

Iskandar berkata, kos pemberian air percuma kepada pangsapuri itu dianggarkan berjumlah RM24,422,715.84.

Katanya, bagaimanapun penyelesaian jangka panjang migrasi kepada meter individu mestilah dilakukan segera, sekali gus dapat memberi manfaat kepada warga Selangor.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Iskandar berkata, masalah sijil layak menduduki (CF) membabitkan pemilik di lima pembangunan di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa selesai selepas kerajaan negeri bersetuju membuat satu kaedah untuk menyelesaikan masalah itu yang berlarutan sejak 2002.

Katanya, sebelum ini, pembangunan di situ hanya dikeluarkan sijil layak menduduki sementara (TCF) kerana terdapat jalan yang tidak lagi dibina dengan sepenuhnya oleh pemaju.

“Hari ini (semalam) kerajaan negeri setuju untuk melengkapkan pembinaan jalan itu dan kosnya akan dicaj kepada pemaju atau kumpulan syarikat pemaju terbabit.

“Oleh itu, sijil layak menduduki boleh dikeluarkan secepat mungkin untuk 1,521 unit kediaman terbabit,” katanya menambah majlis penyerahan itu akan dilaksanakan Khalid pada hari ini jam 8 malam di Jalan Widuri, Seksyen BB 18, Bukit Beruntung.

Tak bayar yuran punca tidak senggara

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Bagaimana penyenggaraan hendak dilakukan dengan sempurna dan mengikut jadual sekiranya hanya 20 peratus penduduk sahaja yang membayar caj bulanan.

Itulah yang dipersoalkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada penghuni Apartmen Sri Pulai, Puchong Hartamas yang mengadu apartmen itu tidak disenggara oleh pemaju.

MPSJ dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, masalah yang dihadapi penduduk di kawasan perumahan itu adalah kerana tiada pihak yang menguruskan apartmen sejak 1 September tahun lepas.

“Masalah itu menyebabkan sampah tidak dikutip selain tunggakan bil air dan elektrik sudah mencecah RM23,292.26 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh 13 Januari lalu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu adalah jawapan kepada laporan Utusan Malaysia yang menyiarkan kesengsaraan penduduk Apartmen Sri Pulai yang sudah lebih enam bulan menderita akibat pemaju yang menguruskan pangsapuri itu ‘melarikan diri’.

Penduduk juga dikatakan ditinggalkan pemaju dalam keadaan serba daif tanpa bekalan air dan tiada penyenggaraan sistem kumbahan sejak setengah tahun lalu.

Kenyataan itu menjelaskan, pemaju apartmen itu, Five Star Development (Puchong) Sdn. Bhd. telah mengeluarkan notis penyerahan pengurusan bangunan kepada badan pengurusan bersama (JMB) Apartmen Sri Pulai pada 12 Jun dan 1 Ogos tahun lalu.

Justeru, pemaju terbabit telah menghentikan tindakan menguruskan bangunan itu pada 31 Ogos tahun lepas.

Bagi membantu penduduk, pihak MPSJ telah membuat lawatan tapak pada 23 Disember dan membantu membersihkan kawasan tersebut termasuk memotong rumput.

Jelas kenyataan itu lagi, pihak MPSJ juga sudah mengadakan mesyuarat pada 29 Disember tahun lepas dan mesyuarat kedua pada 17 Januari lepas bersama penduduk

“Selain itu, MPSJ dimaklumkan yang pemaju akan membantu JMB untuk mengambil alih pengurusan serta kerja-kerja pengurusan bangunan.

“Yang Dipertua MPSJ juga sudah meminta pemaju membaiki dewan selain merobohkan pondok haram yang didirikan di luar kawasan apartmen bagi memudahkan JMB menguruskan kawasan itu kelak,” ujar kenyataan itu.

 

Pemaju gagal tubuh JMB akan didakwa

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemaju perumahan yang gagal menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum 12 April tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, mereka akan didakwa kerana melanggar Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).

Katanya, mengikut statistik penubuhan JMB sehingga Disember 2008 hanya 26 peratus pemaju menubuhkan JMB dan langkah seterusnya adalah pendakwaan. Dalam peruntukan boleh didenda sehingga RM10,000.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor akan mengadakan bengkel untuk mendakwa pemaju yang ingkar kerana arahan sudah diberi hampir setahun untuk menubuhkan JMB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam berhubung prosiding mesyuarat pertama JMB bagi semua kawasan pemajuan strata di negeri Selangor.

Menurutnya, garis panduan mengenai prosiding mesyuarat pertama badan pengurusan bersama bagi kawasan berkenaan diluluskan melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri 21 Januari lalu dan berkuat kuasa serta-merta.

“Kaedah penyerahan notis pada mesyuarat pertama perlu secara sendiri atau melalui pos berdaftar; atau meletakkan notis atau perintah pada bahagian utama alamat perniagaan, petak atau kediaman akhir orang yang hendak disampaikan.

“Pengerusi pertama JMB boleh dipilih oleh anggota berhak mengundi yang hadir dan pengerusi berkenaan akan memulakan mesyuarat yang akan diambil alih oleh pengerusi tersebut,” katanya.

Menurutnya, garis panduan juga mencadangkan supaya hari mengadakan mesyuarat pertama JMB diadakan pada hari tidak bekerja, waktu yang bersesuaian dan bertempat di kemudahan komuniti sedia ada dalam kawasan pemajuan seperti pejabat pengurusan dan dewan.

Katanya, sebarang borang proksi hendaklah dikemukakan dengan notis mesyuarat pertama JMB dengan mematuhi syarat tidak kurang dari 14 hari.

“Pemakaian proksi hanya dibenarkan untuk mewakili pembeli bersama sahaja,” katanya.

Menurut beliau, garis panduan lengkap akan dikeluarkan dalam masa tiga bulan lagi manakala jangka masa panjang satu cadangan sedang dikaji untuk menubuhkan jabatan baru khusus bagi rumah bertingkat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Malah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mengambil inisiatif untuk membuat pindaan akta bagi melindungi hak pembeli,” katanya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: